KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membantah langkah kerajaan mewajibkan Ahli-ahli Parlimen mengisytiharkan harta mereka kepada umum.

Katanya, sebagai Ahli Parlimen, mereka juga mempunyai pendapatan lain bukan bersumberkan daripada elaun ahli Parlimen semata-mata.

“Kita (pembangkang) bukan anggota badan eksekutif, sebagai ahli Parlimen dan kita ada badan-badan lain yang boleh siasat sekiranya ada apa-apa kesalahan.

“Kalau kita isytihar harta daripada punca pendapatan bukan sumber ahli Parlimen, misalnya kalau kita seorang peguam, atau arkitek, kita ada punca daripada sumber-sumber lain.

“Jadi kalau sumber lain itu masuk dalam satu akaun kemudian isytihar sebagai aset, jadi tidak adil, sebab dia (isytihar) berpunca daripada pendapatan sebagai ahli Parlimen,” katanya ketika ditemui media di Parlimen, hari ini.

Dewan Rakyat 1 Julai lalu, sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua ahli Parlimen, termasuk pembangkang mengisytiharkan harta masing-masing.

Usul dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dan disokong Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, diluluskan selepas dibahaskan 26 ahli Parlimen.

Selepas Vui Keong menggulung usul berkenaan, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, memaklumkan usul itu diluluskan sebulat suara tanpa sebarang bantahan termasuk daripada ahli Parlimen pembangkang. -Sinar