KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menarik balik saman terhadap Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua Kiam Wee, berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, membenarkan permohonan itu selepas bertemu peguam kedua-dua pihak di dalam kamarnya di sini.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam yang mewakili Najib, ketika ditemui, berkata beliau diarahkan oleh anak guam untuk menarik balik saman itu tanpa kebebasan untuk memfailkan semula.

Beliau berkata pihaknya menarik balik saman terhadap Kiam Wee dan pemilik portal Mediarakyat.net, Chan Chee Kong, dengan terma yang tidak didedahkan.

Peguam Michelle Ng hadir bagi mewakili Kiam Wee manakala peguam Shahid Adli Kamarudin mewakili Chee Kong.

Pada 5 Mac 2015, Najib memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi dengan menamakan Kiam Wee dan Chee Kong sebagai defendan pertama dan kedua.

Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa pada 13 November 2014, Kiam Wee sebagai penceramah utama pada jamuan malam kutipan dana DAP ada mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah mengenai 1MDB.

Najib berkata, rakaman ucapan itu dimuat naik oleh Chee Kong sendiri dan atau ejennya dalam laman YouTube Mediarakyat dan laman sesawang Mediarakyat yang didakwa menggunakan tajuk berunsur fitnah.

Beliau mendakwa penerbitan perkataan fitnah itu merosakkan reputasinya kerana rakaman ucapan itu boleh diakses secara meluas dan mudah di seluruh dunia melalui internet, blog, forum dan laman web tanpa sebarang sekatan dan boleh dikongsi semula – berita harian