KUALA LUMPUR : Najib Razak terkejut dengan pendedahan rakaman audio oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan 1MDB dan bekas anak syarikat, SRC International yang dikaitkan dengannya dan 7 individu lain.

Menyifatkan ia tidak pernah dilakukan dalam sejarah negara, bekas perdana menteri itu berkata pihaknya sedang mengkaji kandungan rakaman itu.

“Masa itu saya ketua kerajaan. Saya nak semak dulu,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Najib berkata pendedahan itu dibuat “dekat masa Pilihan Raya Kecil Kimanis”, yang akan mengundi pada 18 Jan ini.

“Saya akan bincang dengan peguam saya,” katanya lagi.

SPRM hari ini mendedahkan 9 rakaman percakapan melibatkan 8 individu, termasuk Najib Razak, dikatakan seperti ada konspirasi untuk memanipulasikan maklumat.

Menurut Ketua Pesuruhjaya Latheefa Koya, dalam satu rakaman itu, perbualannya sekitar kertas siasatan kes SRC International.