MANJUNG: Gara-gara mahu mengelak dari didenda kerana hilang kad pengenalan, seorang remaja lelaki sanggup membuat laporan palsu mengatakan dia diragut di Sitiawan, pada Jumaat.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung Deputi Superintendan Chong Boo Khim, lelaki berusia 18 tahun itu mendakwa beberapa dokumen peribadi termasuk kad pengenalan dan wang tunai hilang akibat diragut.

“Dia membuat laporan polis pada jam 12.15 tengah malam dan mendakwa diragut sewaktu balik dari kedai makan.

“Pihak polis telah menjalankan siasatan mendalam dan mendapati terdapat beberapa keraguan di dalam kes ini.

“Akhirnya dia mengaku telah membuat laporan polis dengan cerita yang tidak benar dengan alasan mahu mengelakkan dikenakan denda akibat kehilangan kad pengenalan,”katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya, remaja lelaki itu kini disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu di Balai Polis.

Katanya, dia boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.