SERDANG : Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu namanya tidak tersenarai untuk menggantikan Dr. Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan.

Namun jawapan yang diberikan itu diiringi senyuman lebar oleh Presiden PKR itu.

“Saya tidak masuk senarai,” katanya pendek pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Pingat Emas kepada Murid-Murid Cemerlang UPSR SJKT Selangor di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas bahawa namanya ada disebut dan dicadangkan untuk menjadi pengganti kepada Maszlee.

Sebelum itu, Anwar memberi penghargaan kepada Ahli Parlimen Simpang Renggam itu kerana melaksanakan beberapa pembaharuan sepanjang 2 tahun menerajui Kementerian Pendidikan Malaysia.

Namun Ahli Parlimen Port Dickson agak terkilan kerana pencapaian Maszlee itu lebih banyak dibayangi isu kontroversi selama ini.

Ditanya sama ada peletakkan jawapan Maszlee itu menjadi penamat karier politik buat bekas ahli akademik itu, Anwar tidak bersetuju.

“Beliau masih muda. Perdana Menteri berhenti patah balik, saya pun patah balik. Bukan soal itu tetapi kesungguhan dan konsistensi,” katanya.