SUNGAI SIPUT: Kesempitan hidup memaksa Nooriza Nayan,36, dan suami, Halil Ahmad Tajuddin untuk menggantikan bekalan susu khas dengan nasi kisar kepada anaknya yang lumpuh seluruh badan.

Pendapatan suami yang tidak menentu sebagai pemandu lori disamping dirinya mengambil upah mengasuh di rumah, menyebabkan pasangan ini tidak mampu memenuhi keperluan khas untuk anak istimewa mereka.

Anak kepada pasangan ini, Nurhalina Halil, 19,lumpuh sejak setahun lalu dipercayai akibat jangkitan virus Japanese Encephalitis (JE).

Menurut Nooriza keupayaan anaknya itu hanya bergantung kepada isyarat mata ekoran leher, kaki serta tangannya tidak boleh digerakkan.

nasi_kisar 2“Kos susu setin berharga RM 75 dan hanya bertahan dua hari. Anggaran perbelanjaan bulanan untuk kepeluan Harlina mencecah RM 1800 sebulan.

“Memang ada pihak yang tampil hulurkan bantuan tetapi lama kelamaan saya rasa segan untuk terima sebab sudah banyak termakan budi.

“Akibat tidak mampu menampung perbelanjaan susu kami terpaksa ganti nasi yang dikisar ke tiub yang dipasang menembusi perut Harlina,”katanya ketika ditemui pemberita.

Bagaimanapun baru-baru ini dia dan suami berjaya mendapat bantuan dari Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Permohonan yang dibuat dua minggu lepas melayakkan mereka mendapat sumbangan bekalan susu, mesin kosentrasi oksigen serta penyedut kahak.

Sumbangan disampaikan oleh wakil MAIPk cawangan Kuala Kangsar, Wan Abdul Halim Hafid Mohd Amin di kediaman Nooriza di Taman Kledang Fasa 2, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Wan Abdul Halim berkata sejumlah RM 15,586 diperuntukkan oleh MAIPk bagi membeli peralatan dan keperluan Harlina.

Bekalan susu khas juga akan disalurkan secara berkala mengikut keperluan Harlina.