IPOH: Ketua jurulatih Perak, Mehmed Durakovic mengakui nasib tidak menyebelahi pasukan bimbingannya apabila tewas 0-1 kepada Melaka United dalam aksi Liga Super Malaysia di Stadium Perak, di sini semalam.

Beliau berkata, pasukannya mempunyai banyak peluang namun keampuhan jentera pertahanan pasukan pelawat yang diketuai Razman Roslan menggagalkan anak buahnya mengutip tiga mata penuh.

“Kita telah cuba bersungguh-sungguh tetapi beberapa peluang yang kita peroleh daripada Guilherme (De Paula) dan Fikri (Muhammad Shahrel Fikri) tidak berjaya menghasilkan gol.

“Ketiadaan beberapa pemain utama seperti Careca (Rai Anderson) dan J. Parthiban juga sedikit sebanyak merencatkan permainan kita. Apa pun, kita telah tampilkan permainan yang baik dalam perlawanan ini,” katanya dalam sidang media selepas selesai perlawanan.

Dalam perlawanan itu, gol tunggal Melaka telah dijaringkan oleh Muhammad Ferris Danial Mat Nasir pada minit ke-51 selepas membolosi gawang yang dijaga Mohammad Nasrullah Abdul Aziz.

Mehmed berkata, kekalahan itu akan dijadikan pengajaran dalam meningkatkan prestasi untuk kembali meraih kemenangan dalam perlawanan akan datang.

Sementara itu, pengendali Melaka, Zainal Abidin Hassan berkata, disiplin tinggi selain mengikut sepenuhnya perancangan taktikal yang dirancang menjadi faktor penyumbang kepada kemenangan pasukannya.

“Para pemain wajar diberikan pujian kerana tak banyak memberikan peluang kepada pasukan lawan walaupun pada hujung permainan pasukan tuan rumah melakukan serangan bertubi-tubi. Bagi saya, kemenangan ini amat penting untuk kita memperbaiki kedudukan,” katanya.

Beliau berharap prestasi seumpama ini akan dikekalkan khususnya dalam perlawanan menentang Terengganu di laman sendiri pada 4 Sept ini.

-BERNAMA