PANGKOR: Selari dengan agenda pemulihan ekonomi Kerajaan Malaysia, perancangan dan strategi mantap telah dilaksanakan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) bagi terus menangani impak pandemik COVID-19 bagi keperluan sosioekonomi rakyat.

Pelan Pembangunan Strategik (SDP) NCER 2021-2025 dibentangkan pada Mesyuarat Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) ke-23 (PB23) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mesyuarat turut dihadiri Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Hadir sama Pengerusi Bersama (Industri) Kumpulan Industri Malaysia-Kerajaan untuk Teknologi Tinggi (MIGHT), Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali; dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz.

Menurut NCIA, SDP adalah rangka kerja yang mantap dan strategik yang menggabungkan situasi semasa di negeri-negeri NCER iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak bagi menangani impak pandemik tersebut.

Katanya, projek strategik, pelaburan berimpak tinggi dan program modal insan telah direka untuk segera menyelesaikan keperluan semasa rakyat dan perniagaan serta industri bagi mengurangkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.

“Kerajaan Pusat sedia maklum dengan pelbagai cabaran sosioekonomi yang dihadapi oleh negara dan berjanji yang kerajaan akan memastikan impak kepada rakyat akan diatasi melalui inisiatif yang telah dilaksanakan ini.

“Kerajaan telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan sumbangan bagi mengurangkan beban rakyat,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan sebelum mesyuarat.

Menurutnya, SDP juga selari dengan aspirasi kerajaan dan akan menjadi sumber penting dalam menyokong serta memacu pemulihan ekonomi di wilayah itu menerusi pelaksanaan projek strategik dan program modal insan bagi mewujud dan mengekalkan pekerjaan bagi rakyat.

Katanya, SDP menjangkakan NCER akan menjadi ekonomi bernilai RM300 bilion menjelang tahun 2025.

Bagaimanapun, tambahnya, disebabkan pandemik yang berterusan, sasaran berkenaan telah dianjak selama dua tahun lagi.

“Namun, NCIA telahpun mencapai pelaburan direalisasi terkumpul berjumlah RM115.9 bilion sehingga Julai 2020, dan mewujudkan 140,000 peluang pekerjaan di NCER.

“Menerusi inisiatif yang ditekankan dalam SDP, NCER dijangka mewujudkan lebih 160,000 peluang pekerjaan baharu dan lebih 42,000 usahawan, manakala pelaburan terkumpul dijangka berkembang kepada RM146.5 bilion,” ujarnya.

Menurut kenyataan itu lagi, perkara yang penting kepada rakyat adalah, purata pendapatan isi rumah dan pendapatan isi rumah median B40 di NCER, masing-masing dijangka mencecah RM10,500 dan RM4,200.

Katanya, program Modal Insan yang telah dilaksanakan, khususnya empowerNCER, entrepreneurNCER, NCER Talent Enhancement Programme (NTEP) dan Dana Usahawan Bumiputera (DUB) telah ditambah baik untuk lebih fokus kepada kumpulan yang terkesan dengan pandemik khususnya, dari kategori B40 dengan menyediakan peluang pekerjaan atau keusahawanan.

“Setakat ini, program-program tersebut telah memberi manfaat kepada 15,500 peserta. Untuk jangka masa panjang, program ini akan menyediakan tenaga kerja dan bakat yang diperlukan bagi perkhidmatan industri serta menyokong pertumbuhan pelaburan swasta,” ujarnya.

Selain daripada itu, NCIA telah mewujudkan dua program fast-track yang dikenali JomKerja@NCER dan JomNiaga@NCER bagi menangani impak wabak COVID-19.

Program itu menekankan pengukuhan kemahiran sedia ada dan menambah kemahiran baharu diikuti latihan keusahawanan bagi mempercepatkan kebolehpasaran peserta yang mencari kerja serta meningkatkan daya saing perniagaan mikro.

Menurut NCIA, lebih 8,000 peserta dijangka menerima manfaat daripada program fast-track itu.

Katanya, bagi terus memacu pemulihan ekonomi negeri NCER untuk manfaat rakyat, NCIA telah memperkenalkan projek infrastruktur pemangkin seperti Lebuhraya Koridor Utara (NCH) sepanjang 140 kilometer yang menghubungkan Sungai Petani di Kedah; Batu Kawan di Pulau Pinang; Changkat Jering di Perak; yang menghubungi Lebuhraya Pantai Barat.

Katanya lagi, alternatif itu adalah pemangkin kepada pembangunan NCER dengan menyediakan jaringan perhubungan yang mantap khususnya antara kawasan bandar dengan luar bandar.

Di Perak, NCIA telah menerajui pembangunan Silver Valley Technology Park (SVTP) dan projek Ipoh Heritage Tourism di Ipoh, serta membantu dalam pengembangan Pelabuhan Lumut di Manjung dan pertumbuhan Hab Auto Tanjung Malim di Tanjung Malim.

NCIA juga menyokong pembangunan Pulau Pangkor sebagai Pulau Bebas Cukai menerusi pelaksanaan Pelan Strategik Pelaksanaan Pulau Bebas Cukai Pangkor.

Inisiatif ini memberi fokus kepada pelaburan swasta dan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat.