Oleh: Mohd. Shafiq Noordin

PANGKOR: Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara Malaysia (NCIA) sedang giat mengenal pasti sektor yang berpotensi di Lumut dan Beruas untuk dibangunkan di dalam Rangka Tindakan NCER 2016-2025 (Blueprint 2.0).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kajian yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan itu kini berada di peringkat fasa terakhir.

“Ianya akan mengenal pasti potensi serta kelebihan sektor-sektor yang ada di kedua-dua kawasan Parlimen itu untuk perancangan pembangunan masa kini dan akan datang.

“Antara dua sektor yang diberi perhatian ialah pelancongan dan pusat perkembangan industry. Namun, kita akan memaklumkan perkembangannya dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Daripada Koridor Utara Malaysia di Dewan Terbuka, Kg. Masjid di sini pada Ahad.

Dalam majlis itu seramai 110 penduduk berpendapatan rendah telah menerima sumbangan berbentuk barangan dapur dan wang tunai.

Turut hadir ialah Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq.

Dr Zambry memberitahu, peruntukan berkenaan diluluskan ekoran permohonan yang dibuat oleh kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri mahu NCIA atau sebarang pembangunan di negeri ini dibangunkan secara sama rata justeru itu ianya diluluskan,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Redza memberitahu, kajian berkenaan mengenal pasti isu-isu dan cabaran dari segi sosio ekonomi di kedua-dua kawasan Parlimen tersebut.

“Ianya melibatkan kesemua sektor dan kita nak tahu apakah elemen atau medium yang boleh digunakan bagi pembangunan kawasan terlibat dari segi jangka pendek dan panjang,” katanya.

Tambah beliau, pihak NCIA juga telah mengenal pasti 80 projek baharu di bawah Blueprint 2.0.
“Daripada 80 projek itu, tujuh merupakan projek utama di mana dua daripadanya ada di Kamunting dan Manjung yang dilihat dua kawasan penting sebagai pemangkin ekonomi.

“Kita sedang di fasa terakhir menyiapkan conceptual framework untuk dua projek berkenaan,” ujarnya.
Terdahulu, Dr Zambry  meluangkan masa melawat kakitangan dan pesakit kanak-kanak di Hospital Seri Manjung.

Pada awal pagi ini, beliau menghadiri Qiamullail dan bersahur di Masjd Jamek, Taman Samudera  dalam rangka program Kembara Ramadan Menteri Besar Perak pada tahun ini.