LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysa (APMM) Perak memperkukuhkan usaha untuk mengekang kemasukan pendatang tanpa izin, di samping mencegah berlaku pencabulan undang-undang.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, dalam kejadian terbaharu, Pusat Operasi (PUSOP) Maritim Negeri Perak semalam menerima aduan daripada nelayan tempatan sekitar jam 5 petang yang mengesyaki dua buah bot pukat jerut bilis Pangkor melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

Menurutnya, lima minit sejurus maklumat diterima, satu pasukan anggota digerakkan ke lokasi bagi tujuan pemantauan sekitar perairan Teluk Batik.

“Hasil laporan anggota, didapati kedua–dua bot tersebut telah melakukan kesalahan bersama sejumlah 17 awak-awak warga tempatan.

“Sehubungan itu, Maritim Negeri Perak melakukan penahanan dengan mengiringi bot tersebut ke Pusat Tahanan Vessel (PTV) Kampung Bharu Lumut dan tiba pada sekitar jam 8 malam tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrizan berkata, kes tersebut diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Perak bagi tujuan siasatan.

Menurutnya, sepanjang Op Benteng menerusi penubuhan National Task Force sejak 12 Mei lalu, mereka tidak mengabaikan penguatkuasaan terhadap kesalahan-kesalahan rutin.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada komuniti maritime, khususnya nelayan yang menjadi mata dan telinga Maritim Malaysia dengan menyalurkan maklumat secara terus ke bilik operasi maritim 24 jam.