KEMAMAN: Keresahan seorang anak menunggu bapanya yang tidak pulang ketika menangkap ikan hingga lewat petang terjawab apabila lelaki itu ditemukan mati dalam bot gentian kaca miliknya, kelmarin. 

Mayat Wan Razli Wan Hasan, 61, ditemukan empat nelayan lain di perairan Kerteh kira-kira pukul 6.30 petang selepas curiga melihat sebuah bot yang hanyut berdekatan mereka.

Anak mangsa, Wan Muhammad Azim Wan Razli, 21, berkata, menjadi rutin harian bapanya turun ke laut seorang diri dan pulang ke rumah di Kampung Tengah, Kijal sekitar pukul 6 petang.

Bapanya yang juga pesara Jabatan Kerja Raya (JKR) mula aktif sebagai nelayan sejak dua tahun lalu.

“Kami pelik sebab sudah hampir pukul 7 malam, ayah masih belum balik, risau kalau terjadi apa-apa.

“Dalam pukul 8.30 malam, ada orang hubungi emak memberitahu bot ayah dijumpai nelayan dan ayah sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di jeti Kuala Kijal dekat sini malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, siasatan mendapati mangsa yang pergi ke laut kira-kira pukul 2 petang itu ada mengadu sakit kepada rakan-rakannya di jeti Kuala Kijal semasa mengangkat peralatan ke dalam bot.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan kematian disebabkan serangan jantung kerana mangsa difahamkan mempunyai penyakit tersebut dan pernah beberapa kali menerima rawatan di Hospital Kemaman.

“Bot Wan Razli ditemukan sekumpulan nelayan yang curiga melihat bot hanyut kira-kira 500 meter di hadapan mereka. Selepas mendekati bot itu mereka menemukan mangsa lalu segera menunda bot dan tiba di jeti Kuala Kijal kira-kira pukul 8.20 malam,” katanya.

Hanyan berkata, kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut. -UTUSAN