PARIT BUNTAR – Nelayan pukat kenka di daerah Kerian disaran menukar aktiviti mereka kepada industri pemprosesan ikan dan ternakan ikan dalam sangkar memandangkan pukat berkenaan akan diharamkan penggunaannya menjelang 2020.

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari berkata, nelayan terbabit juga diminta meneroka laut dalam bagi Zon C.

Katanya, selepas masalah berlarutan sejak 30 tahun lalu, pukat kenka akan diharamkan kerana ia boleh menjejaskan sumber perikanan selain mengancam tangkapan nelayan tradisional.

“Penukaran aktiviti itu pelan yang menjadi dasar kerajaan untuk tidak membenarkan pukat kenka beroperasi atau mereka boleh menukar operasi ke Zon C iaitu bagi 15 batu nautika ke atas jika mahu meneruskan aktiviti nelayan,” katanya selepas menghadiri taklimat umum mengenai masalah perikanan nelayan di Kuala Kurau di sini, hari ini.

Taklimat lebih dua jam itu disampaikan oleh Pengarah Jabatan Perikanan negeri Zaki Mokhri.

Abdul Yunus yang juga Adun Kuala Kurau berkata, ada nelayan yang meminta penggunaan pukat kenka dilanjutkan lima tahun lagi.

Selain itu beliau berkata, pihaknya akan berjumpa dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berikutan rungutan nelayan tidak mendapat bayaran sara hidup sejak tiga bulan lalu.

“Ini mungkin berlaku apabila berlakunya peralihan kuasa yang menjejaskan proses berkenaan,” katanya.

Zaki Mokhri pula berkata, nelayan pukat kenka dicadangkan dalam tempoh dua tahun setengah ini untuk menceburi industri pertanian selain berpindah ke Zon C jika masih mahu menjadi nelayan.

“Pukat kenka diharamkan kerana 40 peratus tangkapan mereka melibatkan benih ikan yang boleh merosakkan sumber perikanan dan menjejaskan tangkapan nelayan tradisional,” katanya. – Bernama