IPOH: Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPN) hari ini meneruskan program mengedarkan bubur lambuk kepada kakitangan dengan kerjasama rakan strategik, Nestle dalam usaha untuk beramal sempena bulan Ramadan ini.

Pengarahnya, Datuk Mat Lazim Idris berkata program yang masuk tahun ketiga itu menyaksikan kerjasama antara kakitangan JPN dan tenaga kerja daripada Maggi (Nestle).

“Hari ini merupakan pusingan pertama dimana kita menyediakan sekitar 100 bungkus bubur lambuk manakala pada pusingan kedua 3 Mei kakitangan JPN akan bergotong royong memasak dan mengedarkan juadah sama kepada 400 kakitangan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di program berkenaan.

Katanya, selain daripada program tersebut JPN turut melaksanakan pelbagai aktiviti bersempena dengan bulan Ramadan yang bertujuan untuk menyumbang kepada orang ramai selain merapatkan sillaturahim di antara kakitangan jabatan tersebut.

“Pengisian kita termasuklah tazkirah, bacaan Yasin,majlis-majlis Iftar, kutipan derma tabung Ramadan, pengedaran bubur lambuk serta program tadarus al-Quran setiap minggu,”katanya lagi.

Sementara itu, Pengurus Penajaan dan Persampelan Nestle (Wilayah Utara) , Mohammad Ismail Osman berkata inisiatif Tanggungjawab Korporat Sosial (CSR) tersebut merupakan salah satu daripada sembilan aktiviti memasak bubur lambuk di sekitar negeri.

Katanya, kolaborasi bersama JPN Perak dalam pelbagai program sebelum ini merupakan sesuatu yang telah diamalkan selama enam tahun berturut-turut selain di hari rekreasi, hari sukan dan sebagainya.