ALOR SETAR – Tindakan netizen menyunting dan menyebarkan maklumat palsu berkaitan bayi berusia setahun tiga bulan, Ieman Fayruzz Mikhail Abdul Rahim didakwa mengundang kesulitan kepada keluarganya.

Nor Hidayu Halim, 28, berkata, ada pihak tidak bertanggungjawab meletakkan akaun bank yang tidak wujud untuk mendapatkan bantuan untuk anak lelakinya itu.

“Iman masih perlukan bantuan kewangan dari semasa ke semasa dan bergantung pada bantuan mesin pernafasan untuk bernafas.

“Bagaimanapun kami sekeluarga mengesan ada pihak sengaja menokok tambah makluman berkaitan Iman sehingga beri kesan kepada kami,” katanya.

Malah katanya, individu terbabit didakwa sanggup menyamar dan mengaku sebagai suaminya, Abd Rahim Ismail, 32, demi menipu orang ramai.

“Disebabkan itu bantuan kewangan diberikan penyumbang untuk bantu anak lelaki kami yang hidap empat penyakit kronik itu tak diterima.

“Kami ada terima panggilan beberapa kali memaklumkan mereka ada memasukkan wang untuk kegunaan Iman tapi bila diselidiki, rupa-rupanya bantuan itu sampai ke tangan pihak lain,” katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga kesal dengan tindakan sedemikian memandangkan Ieman amat memerlukan wang banyak setiap bulan.

“Suami sekarang sara lima beranak termasuk anak sulung yang kurang upaya (OKU), Ahmad Hafizy, 10, dan Ahmad Amirul Amin, 7, dengan pendapatan tak menentu jual sotong serta udang.

“Kalau ada kerja baru ada duit lebih kurang RM60 sehari. Itupun ada hari tak dapat ke laut kerana muka Ieman selalu kebiruan akibat kurang oksigen bila dia aktif,” katanya.

Lebih membimbangkan katanya, mereka tidak berkemampuan menggantikan bateri peralatan digunakan Iman yang rosak dan membeli susu khas baharu serta lampin pakai buang saiz besar.

“Ieman dah masuk wad sejak 1 Mac lalu dan masih belum boleh balik ke rumah kerana kesihatan tak menentu,” katanya.

Berikutan itu katanya, bimbang maklumat mereka terus disalahgunakan, dia telah membuat satu laporan polis dan berharap kejadian itu tidak berulang.

Menurutnya, dia berharap individu berkenaan menghentikan perbuatan mereka kerana tindakan terbabit didapati memberi kesan kepada anak lelakinya.

Mereka berhasrat meringankan bebanan adik Ieman boleh menghulurkan bantuan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) atas nama ibunya Nor Hidayu Halim (0210029000677695).

-SinarHarian