IPOH – Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming dan tiga lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Perak mengambil keputusan menyumbang wang mereka bagi membantu mengurangkan beban hutang yang ditanggung kerajaan.

Timbalan Pengerusi DAP Perak, V.Sivakumar memaklumkan inisiatif itu juga bagi menyahut dasar yang dibawa oleh Tun Mahathir suatu masa dahulu iaitu,kepimpinan melalui teladan.

“Hari ini kita telah melihat Nga Kor Ming menunjukkan teladan yang begitu baik dengan memberikan sumbangan sebanyak RM 16,000 untuk membantu kerajaan dalam menghadapi satu krisis yang agak mudarat.

“Saya dan juga rakan seperjuangan juga bersama-sama dengan beliau dengan semangat yang sama, semangat sebagai anak Malaysia, patriotik terhadap negara, kami akan beri sumbangan juga,” katanya kepada pemberita.

Sivakumar berkata demikian dalam sidang media di ibu pejabat DAP Perak, di sini hari ini.

Antara ADUN yang tampil memberikan sumbangan ialah V. Sivakumar sebanyak RM 8,000, Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kan Woh RM 8,000 dan ADUN Kepayang , Dr. Ko Chung Sen RM 10,000.

Sementara itu, Kor Ming turut berbangga dengan semangat yang dizahirkan oleh rakyat Malaysia berhubung sumbangan untuk membantu mengurangkan hutang negara.

“Semalam ada seorang lelaki jika tidak silap saya dari Batang Berjuntai ada menulis surat kepada Menteri Kewangan memberi derma RM 100, cuba membantu negara kita membayar hutang.

“Ini adalah kisah yang mengharukan khususnya berlaku di bulan Ramadan, semalam juga ada seorang lelaki kaum India telah menderma lima peratus daripada gajinya untuk membantu kerajaan baru bayar hutang

“Hari ini saya umumkan untuk derma gaji bulan ini sebanyak RM 16,000 kepada kerajaan baru sebagai tanda solidariti ahli Parlimen DAP dan Pakatan Harapan,” kata Kor Ming.