IPOH: Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Udangan Negeri (DUN) Perak pada persidangan Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri ke-14, hari ini.

Ngeh,57, yang juga Ahli Parlimen Beruas dipilih menjadi Speaker selepas mendapat 31 undi daripada kesemua 59 ADUN yang mengundi.

Beliau sekali gus mengatasi dua lagi calon lain iaitu bekas Timbalan Speaker penggal lalu, Datuk Nasarudin Hashim yang mendapat 25 undi dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Mohd Misahul Munir Masduki yang mendapat tiga undi.

Anak jati Ayer Tawar, Perak itu mengangkat sumpah kira-kira jam 10.50 pagi tadi di hadapan kesemua 59 ADUN ketika sidang berlangsung buat pertama kalinya selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Pada persidangan itu juga, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang,  Aminuddin Zulkipli yang dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN, turut mengangkat sumpah jawatan.

Aminuddin dari parti Amanah pula diangkat menjadi Timbalan Speaker selepas beliau menjadi calon tunggal untuk jawatan itu.

Sementara itu, kesemua 59 ADUN Perak juga turut mengangkat sumpah jawatan didahului dengan Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu yang juga merupakan ADUN Chenderiang.

1/4