IPOH – Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham diminta hentikan menyebar penyakit “demam keliru” yang dialaminya kepada rakyat berhubung isu Movie Animation Park Studios (MAPS).

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri telah berkali-kali menegaskan tiada dana awam atau duit rakyat telah digunakan untuk pembinaan taman tema itu seperti didakwa beliau.

“Beliau ini memang sedang mengalami demam keliru, sudah berkali-kali saya ulang melalui sidang media dan juga dalam sidang Dewan Undangan Negeri, tiada satu sen pun wang rakyat atau dana awam telah digunakan untuk membina MAPS ini.

“Pegangan saham kerajaan negeri Perak melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) hanyalah 26 peratus sahaja, pembinaan taman teman diperolehi dari modal syarikat senaraian awam dan juga institusi kewangan, bukan dari duit rakyat,” katanya pada satu sidang media khas di sini pada Khamis.

Tambah beliau, operasi MAPS juga tidak terjejas dengan perintah penggulungan Daya Sejahtera Sdn BD (DSSB) yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“DSSB memilik 5.6 peratus saham di dalam RSG Maps Sdn Bhd dan RSG Maps memiliki 34.3 peratus saham dalam Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP), oleh itu pegangan saham secara efektiknya dalam MAPS hanya 1.9 peratus, tak menjejaskan langsung,” ujar beliau.

Dalam pada itu, dakwaan mengenai kerugian jutaan ringgit di alami MAPS sejak mula beroperasi Julai tahun lalu, Mohamad Zahir berkata angka berkenaan merupakan kerugian sebelum operasi bagi tahun berakhir Jun 2016.

“Ia adalah kerugian sebelum operasi, ia perkara nomal dalam perniagaan sudah tentu MAPS memerlukan belanja terlebih dahulu untuk melakukan kerja-kerja operasi, promosi dan sebagainya.

“MAPS mula beroperasi pada Hari Raya Aidilfitri kedua tahun lalu, setahun pun belum sampai takkan terus nak untung, ini perniagaan taman tema bukan perniagaan menjual kertas kerja cadangan terowong bawah tanah di Pulau Pinang nak untung berjuta-juta atas angin.

“MAPS menjangkakan kerugian ini akan berterusan sehingga ia boleh beroperasi sepenuhnya dengan pembukaan DreamZone pada Jun 2018 nanti, ia sedang menunggu kelulusan pemegang harta intelek,” jelas beliau.

Tambah beliau lagi, dakwaan ahli DAP kononnya MAPS hanya menerima 200 pengunjung setiap hari juga tidak benar sama sekali.

“Mungkin dia dapat angka ini dari mimpi dia, setakat bulan Mac ini sahaja seramai 33,400 orang telah berkunjung ke MAPS, secara puratanya adalah 1,077 sehari, angka ini belum lagi jika MAPS dibuka sepenuhnya.

“Selama lapan bulan MAPS telah beroperasi lebih 220,000 pengunjung telah dicatatkan di mana 90 peratus daripadanya adalah luar daripada Perak,” tambah beliau.

Justeru beliau meminta Ngeh untuk menghentikan sikapnya yang hanya tahu menghentam kerajaan negeri tanpa sebarang fakta tepat dan tanpa memikirkan peluang serta limpahan ekonomi yang diterima rakyat melalui pembinaan taman tema terbabit.

“Ia memberi pelbagai impak dan manfaat kepada penduduk setempat dan juga rakyat di negeri ini secara keseluruhannya, janganlah disebabkan politik kita sanggup menghentam perkara yang baik untuk rakyat, tidak adil begitu.

“Setiap hari mahu mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mengelirukan, ini merupakan satu kegilaan…satu kegilaan yang boleh menghancurkan negeri dan negara,” kata beliau.

BERITA BERKENAANUgutan Keluar Parti Tidak Dialukan – Zahid