KUALA LUMPUR : Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia dan 56 NGO hari ini menggesa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menarik balik keputusan untuk membina kawasan khas merokok di tempat awam.

Kami membantah perkara itu,  jelas presiden persatuan itu, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, ia seolah-olah memberi mesej negatif kepada masyarakat seolah-olah kerajaan menggalakkan amalan merokok.

Tidak berniat untuk memusuhi golongan perokok, namun ujar beliau, perkara itu bertentangan dengan usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sendiri yang tidak mahu merokok menjadi amalan.

“Kerajaan hendaklah melihat daripada segi dasar kesihatan awam berkaitan merokok. Apa-apa yang dilihat menggalak merokok itu mungkin tidak sesuai.

“Dengan adanya inisiatif ini seolah-olah menggalakkan perokok untuk merokok dan kita membudayakan lagi amalan (merokok) yang mana kita tahu ia sebenarnya memberi kesan kepada kesihatan, ekonomi dan muslim menerusi majlis agama tertentu yang juga ada mengeluarkan fatwa bahawa merokok adalah haram.

“Jadi, tindakan ini aneh kerana  bertentangan dengan kehendak rakyat. Oleh yang demikian kami menggesa pihak KPKT agar pelaksanaan kawan merokok ditarik semula dan perbincangan teknikal antara kementerian dengan pertubuhan serta rakyat dibuat dengan segera,” katanya dalam sidang media di bangunan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia hari ini.

Baru-baru ini dilaporkan, KPKT  akan memperuntukkan RM1 juta bagi pembinaan kawasan merokok di tempat awam termasuk kawasan komersial dan medan selera milik 155 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.

KPKT katanya lagi patut mengadakan perbincangan dengan pihak yang berkepentingan termasuk semua persatuan melibatkan kesihatan awam untuk sebelum membuat keputusan ini.

Megulas lanjut, Zainal berpendirian perbelanjaan itu hanya membazirkan wang rakyat.

Sebaliknya, beliau berpendirian lebih elok untuk kerajaan menyediakan tempat membuang puntung rokok, selain menggunakan dana tersebut untuk menganjurkan program membantu perokok untuk meninggalkan amalannya.

“Kita lebih hargai tempat buang puntung rokok itu, seperti di Singapura, Korea, Jepun, mereka ada tempat buang puntung rokok jadi tidak payah dibuang merata-rata. Jadi kalau boleh buat begini di tempat sepatutnya kita lebih alu-alukan.

“Peruntukan RM1 juta hanya bagi memuaskan hati 20 peratus populasi yang merokok. Sebaliknya wang tersebut sepatutnya digunakan untuk kegunaan peruntukan bagi mengubati perokok atau penyakit yang disebabkan oleh rokok atau meningkatkan kemudahan awam yang bermanfaat kepada ramai rakyat.

“Jadi, kita harap kalau KPKT jika  betul-betul mahu bantu rakyat dari segi perokok minta nasihat kepada golongan profesional contohnya kempen anti merokok klinik berhenti merokok di PBT satu langkah lebih baik berbanding mengadakan zon merokok yang sememangnya boleh merokok,” katanya lagi.

Dilaporkan sehingga kini KPKT sudah mempunyai satu model kawasan khas merokok dibina di Ampang yang mempunyai dua pondok kawasan merokok dengan kelengkapan bumbung, tempat duduk dan tempat membuang puntung rokok.-MalaysiaGazette