LUMUT: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) perlu peka terhadap masalah sosial yang berlaku di kawasan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, antara masalah yang membimbangkan ialah penagihan dadah.

IMG-20171026-WA0015Menurut beliau, masalah dadah bukan sahaja melibatkan orang dewasa, malah ia telah menyelusup di kalangan pelajar sekolah.

Katanya, golongan pelajar  adalah pemimpin masa depan dan jika mereka rosak, sudah tentu akan menjejaskan negara.

IMG-20171026-WA0016“Oleh itu, jangan ada lagi istilah anak engkau, anak engkau, anak aku, anak aku,” katanya di majlis Sepetang Bersama Pemimpin anjuran PVATAM Cawangan Perak di sini pada Khamis.

Hadir sama Yang Dipertua PVATM Perak, Lt Kdr (B) Jayah Said dan Pegawai Khas kepada ADUN Pangkor, Datuk Azri Jaafar

Samsudin berkata, kerajaan akan terus membantu PVATM untuk menjaga veteran yang telah banyak berjasa kepada negara.

Bagaimanapun, beliau mengakui masyarakat masih kurang peka dengan kutipan Tabung Pahlawan kerana mereka tidak merasai dan menjiwai jasa serta pengorbanan bekas perajurit.

“Negara kita membangun, rakyat dapat hidup dalam aman damai dan syarikat korporat juga dapat berniaga dengan terus mencatat keuntungan kerana pengorbanan bekas perajurit,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi Kutipan Tabung Pahlawan negeri Perak  memberitahu, tahun ini pihaknya mensasarkan kutipan sebanyak RM300,000 berbanding kutipan RM123,000 pada 2015 dan RM227,000 tahun ini.

Pada majlis itu, Samsudin turut menyampaikan sumbangan kerajaan negeri kepada ketua-ketua cawangan PVATM Perak.