Penggerak Komuniti Negara Negeri Perak hari ini membuat laporan polis terhadap tindakan Datuk Lokman Noor Adam yang mengeluarkan kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di laman Youtube baru-baru ini.


Pengerusinya, Yushairil Iswan Ahmad Rohaini berkata Lokman yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu dengan jelas menghina Yang di-Pertuan Agong dalam satu video klip, mengatakan sama ada Tuanku merestui dan membenarkan peralihan kuasa secara pintu belakang sekali lagi.


“Kami menegaskan sebenarnya sebagai seorang rakyat Malaysia yang menjunjung sistem Raja Berpelembagaan mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan beliau.

“Kenyataan itu melambangkan keperibadian beliau yang tidak menghormati dan saya boleh katakan ini sangat biadap dan patut diambil tindakan segera


“Perkara ini sangat serius dan wajar diambil tindakan dengan segera supaya pihak lain tidak mengikut cara-cara dia yang sekarang,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan polis berhubung isu itu di Balai Polis Sungai Senam, Ipoh pada Selasa.


Tegasnya, kenyataan itu tidak sepatutnya dikeluarkan memandangkan rakyat Malaysia sendiri menyaksikan bagaimana proses dilakukan baginda sebelum melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Justeru itu, beliau berharap tindakan tegas dapat diambil oleh pihak berwajib bagi menyiasat penghinaan yang dilakukan supaya tidak berulang di masa akan datang.


Sabtu lalu tular di media sosial berkenaan satu video klip berdurasi 27 minit 8 saat bertajuk “13 Oktober, Tragedi Tumbangnya Kerajaan Muhyiddin?” oleh Lokman Adam.


Dalam video itu Lokman mendakwa sama ada Tuanku merestui dan membenarkan peralihan kuasa secara pintu belakang sekali lagi, beliau turut mengatakan pelantikan Muhyiddin juga dilakukan secara pintu belakang.