IPOH: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) digesa mendapatkan maklumat sebenar sesuatu isu daripada kerajaan negeri sebelum mengambil sesuatu tindakan.

Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, dalam isu orang asli menghalang usaha pembalakan di Gerik misalnya, ia tidak sepatutnya berlaku kerana memberi kesan kepada kerajaan negeri.

Menurutnya, kerajaan negeri berdepan kerugian kerana tidak boleh mendapatkan hasil daripada kelulusan membalak daripada kerajaan terdahulu.

“Mana mungkin kerajaan sekarang lulus terus boleh tebang kerana selepas diluluskan kena tanda pokok yang sudah tentu memakan masa lama. Pihak syarikat telah membayar cukai kepada kerajaan negeri.

“Mereka telah menebang pokok dan dilonggok dalam satu tempat tetapi dihalang keluar menyebabkan kayu reput dan akhirnya industri hiliran lain turut terjejas,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Penasihat Pembangunan Telekomunikasi dan Multimedia Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Hasnul berkata, pihak NGO sepatutnya mendapatkan penjelasan sama ada pembalakan tersebut dibuat mengikut prosedur sebenar atau sebaliknya dan bukan menggunakan orang asli untuk menghalang hasil balak untuk dikeluarkan.

Dalam pada itu, beliau berharap agar NGO dan kerajaan negeri terus mengadakan dialog jika sesuatu isu itu timbul.

Terdahulu dalam temubual khas bersama media sempena setahun pemerintahan PH di Perak, Ahmad Faizal mengharapkan NGO yang cuba menjadi juara terhadap permasalahan orang asli supaya ikhlas membantu masyarakat itu dan tidak mempergunakan kaum orang asli untuk menghalang kerajaan negeri mendapatkan hasil terutama daripada pembalakan.

Bagaimanapun, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) dalam kenyataan semalam meluahkan kekecewaan terhadap Ahmad Faizal yang menganggap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar mengganggu pentadbiran kerajaan.