IPOH: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu kreatif dan mempraktikkan pendekatan yang inovatif untuk kekal kompeten.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan  Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, kerajaan negeri sedar, untuk tujuan itu, NGO sendiri mesti dibekalkan dengan pelbagai program pembangunan kapasiti yang bersifat ‘hand-on’.
Dalam hubungan ini, kata beliau, kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah Pelan Tindakan Strategik NGO 2016 – 2020.
“Pendekatan-pendekatan ini berbentuk siri latihan pembangunan yang menekankan peningkatan ‘soft skill’,” katanya ketika berucap pada program Konvensyen NGO Perak 2017 di Hotel Casuarina@Meru di sini, pada Ahad.
Kira-kira 700 wakil NGO seluruh Perak menghadiri program itu yang dianjurkan bersama Institut Darul Ridzuan dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) Negeri Perak.
Konvensyen yang bertemakan Pendekatan Inovatif Menjamin Kelestarian menampilkan Dr Saiful Mahdi dari Acheh Institute yang memberi ucaptama diikuti dengan perbincangan bersama dua panel.
Dua panel itu ialah Pengarah Eksekutif MERCY Malaysia, Ir Amran Mahzan; dan Miao Tong Ho dari Persatuan Sukan Cina Chin Woo Ipoh.
WhatsApp Image 2017-09-10 at 10.41.16
Samsudin berkata, NGO memainkan besar, terutama di dalam sektor yang tidak dapat dipenuhi oleh perkhidmatan kerajaan.
“Ia dikenali sebagai sektor ketiga yang membantu menyelesaikan masalah dan menangani pelbagai keperluan sosial termasuk isu kemiskinan dan pengangguran ke arah kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Beliau menambah, NGO juga berperanan untuk ‘check & balance’ di samping menjadi mata dan telinga kerajaan bagi memastikan sistem penyampaian dapat dinikmati segenap masyarakat.