KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga India yang sepatutnya pulang ke negara asalnya esok, tidak kesampaian apabila dia ditemui maut di tingkat bawah sebuah rumah kedai di Taman Intan Baiduri, Kepong di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, lelaki berkenaan yang juga pekerja restoran dipercayai terjatuh dari tingkat empat asrama kediaman pekerja di rumah kedai berkenaan yang terletak berhampiran tempat kerjanya.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, lelaki berkenaan meminta untuk pulang lebih awal ke asrama pekerja yang terletak di tingkat empat bangunan sama.

“Pada hari kejadian, lelaki itu meminta izin daripada majikan untuk naik (balik) ke asrama lebih awal. Dia yang bersendirian pulang asrama dan pergi ke arah balkoni sebelum dipercayai terjun dari unit yang terletak di tingkat empat itu.

“Mayat mangsa ditemui di tingkat bawah di bahagian belakang bangunan oleh orang awam sebelum membuat laporan kepada pihak polis,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Munusamy berkata, siasatan di lokasi mendapati tiada unsur jenayah ditemui dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“Berdasarkan siasatan dan maklumat yang kami terima, mangsa sudah bekerja di negara ini sejak dua tahun lalu dan dijangka pulang ke kampung halamannya di India, esok, 13 Jun.

“Bagaimanapun, kami mendapati, sejak kebelakangan ini mangsa mengalami kemurungan dan sering bercakap sendirian,” katanya – berita harian