IPOH: Kewujudaan Movie Animation Park Studios (MAPS) di Meru Raya membantu meningkatkan nilai hartanah di kawasan itu antara 40 – 50 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata, jika pada 2014 nilai tanah hanya RM48 sekaki persegi dan meningkat lebih RM100 pada tahun 2016/2017.

“Pembangunan Meru berada di landasan yang betul, oleh itu kerajaan yang ada sekarang wajar diteruskan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini selepas menggulung perbahasan di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Zahir turut menafikan dakwaan pembangkang, khususnya Wong Kah Woh (DAP-Canning) kononnya MAPS membuat pinjaman bank sehingga RM1.9 bilion.

Sebaliknya, kata beliau, pinjaman yang dibuat itu hanya RM280 juta yang diambil daripada konsortium bank tempatan dan ia mendapat kelulusan pihak syarikat dan telah diumumkan selaras dengan ketetapan peraturan penyenaraian Bursa Malaysia.

Mengenai Bandar Tasek Amanjaya, beliau memberitahu, projek itu masih belum dapat diteruskan kerana masih terdapat lapan kes mahkamah yang dibawa oleh setinggan di kawasan tersebut.

Menurutnya, hampir semua 22 setinggan di kawasan tersebut bukanlah kais pagi makan pagi, sebaliknya mereka adalah setinggan komersial yang memperolehi keuntungan jutaan ringgit hasil meneroka tanah kerajaan sejak bertahun-tahun.

“Malangnya, ada orang yang berkepentingan yang menghasut mereka supaya dapatkan injuksi daripada mahkamah dan dalam masa yang sama mereka itu kata mengapa kerajaan tidak membuat pembangunan di kawasan itu,” tambahnya.

Mengenai peniaga yang diarahkan keluar daripada pusat membeli belah Megopleks di Medan Gopeng, Zahir berkata, pusat membeli belah itu semakin usang dan mereka dinasihatkan berpindah ke Silveritage yang telah ditambahbaik.

Beliau memberitahu, walaupun sewa lot di Silveritage ialah RM2,000 sebulan, peniaga dari Megopleks diberi sewa hanya RM500 di samping diberi bantuan wang tunai untuk membantu mereka berpindah.