Oleh: Nazialita Geynna Maharan
LUMUT: Nilai jualan Pasar Tani Negeri Perak mencatatkan peningkatan positif dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM 22,335,599.77 bagi tempoh Januari – September tahun ini berbanding RM18 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.
Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, Basri Jasmo berkata, peningkatan itu jelas menunjukkan keperluan pengguna untuk membeli di pasar-pasar tani semakin meningkat dengan ketara.
IMG-20171026-WA0000Katanya, pihak FAMA menyasarkan nilai jualan sebanyak RM30 juta bagi tempoh sehingga Disember tahun ini dan objektif itu dilihat amat realistik berdasarkan perkembangan baik setakat ini.
“Jualan di pasar tani semakin mendapat reaksi baik dari masa ke masa, dan kita sedia maklum, orang ramai mengetahui harga barangan yang dijual adalah lima hingga 20 peratus lebih murah.
“Malah, harga itu tidak termasuk tawaran program istimewa seperti My Best Buy yang bakal diadakan di pelbagai lokasi.
“Ini adalah program galakan, jadi dengan sendirinya pelanggan tahu pasar tani adalah lokasi terbaik untuk mendapatkan bekalan mereka dengan harga berpatutan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Program Jualan Istimewa @ Pasar Tani NBOS Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut Sempena Permukiman Menteri Besar Daerah Manjung di sini, hari ini.
Tambah Basri, angka memainkan peranan penting namun terdapat selitan matlamat utama yang dipegang oleh FAMA dalam menjalankan program di seluruh negeri.
“Ada dua elemen paling penting sebenarnya iaitu bagaimana pelanggan mendapat faedah daripada harga yang ditawarkan dan bagaimana usaha-usaha yang dilaksanakan oleh usahawan ini dapat meningkatkan pendapatan mereka, itulah tujuan sebenar Pasar Tani ini,” ujarnya lagi.