IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak berjaya merampas dadah bernilai RM10.8 juta tahun ini, meningkat 137 peratus berbanding RM4.5 juta tahun lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan menyifatkan peningkatan itu sangat tinggi dan membimbangkan.

Di samping itu, kata beliau, nilai sitaan harta berkaitan kes dadah setakat ini ialah RM5.24 juta.

“Secara keseluruhannya, kita bimbang dengan kedudukan sekarang dan pihak polis sentiasa bertindak untuk menentukan kedudukan penyalahgunaan dadah dan juga pengedaran dadah sentiasa berada pada tahap yang boleh kita kawal,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

Menurut beliau, aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di negeri Perak masih dalam keadaan membimbangkan dengan peningkatan yang agak ketara tahun ini berbanding tahun 2016.

Beliau memberitahu, tahun ini sahaja, 6,177 tangkapan dibuat, meningkat 18 peratus berbanding tahun lalu yang beliau sifatkan sebagai tinggi.

Daripada jumlah itu, 1,861 tangkapan kerana kegiatan pengedaran (meningkat 10 peratus) dan pemilikan (meningkat 22 peratus)

Di samping itu, ujarnya, rampasan dadah sintetik seperti syabu, ketamine, pil ekstasy, pil yaba dan pil eramin 5 turut meningkat dengan sangat ketara, sehingga ada yang meningkat 17 kali dan 69 kali ganda, berbanding tahun lalu.