KUALA LUMPUR – Pengarah dan pelakon, Syamsul Yusof membuat satu laporan polis selepas mendapat mesej berbaur ugutan menerusi Instagramnya.

Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd Syamsul Mohd. Yusof,36, berkata, dia menyedari kewujudan mesej berbaur uguran daripada sebuah akaun palsu, Velvetblackkl itu, pada malam Isnin lalu.

“Belum reda kes YouTube sebelum ini, timbul lagi kes saya menerima ugutan dan ancaman daripada orang yang tidak dikenali. Sebenarnya, sebagai seorang selebriti, saya sudah biasa menerima komen negatif dan kata-kata ugutan.

“Tapi ini melampau kerana melibatkan maruah, keselamatan anak dan isteri. Selain peminat, haters ada juga menghantar mesej kepada saya tapi saya tidak ambil pusing.

“Saya tak pasti akaun tersebut hantar bila tapi malam tadi (Isnin) baru saya sedari. Saya tidak tahu agenda dia samada dia musuh atau tidak. Tetapi benda itu sudah melampau sebab itu saya ambil tindakan ini,” kata pelakon dan pengarah filem Munafik itu.

Syamsul ditemui dalam satu sidang media selepas dia membuat laporan polis di Balai Polis Taman Melawati.

Kata Syamsul lagi, dia tidak akan berdiam diri kerana ugutan tersebut melibatkan bukan hanya dirinya tetapi isteri dan anak-anak.

“Sejak masalah rumah tangga menjadi perhatian, tiba-tiba perkara begini berlaku pula. Terutama datang daripada akaun palsu makin menjadi-jadi sehingga ada yang berani mengugut saya.

“Saya dah nekad ‘no more Mr. Nice Guy’. Saya perlu pertahankan diri dan akan cari siapa yang membuat ugutan ini kepada saya. Kalau tak puas hati dengan saya, apa kata jumpa saya depan-depan.

“Tak perlu melibatkan anak dan isteri saya. Saya tidak mahu menuduh mana-mana pihak kalau tiada bukti. Sebelum ini, saya pernah menerima mesej daripada akaun yang sama pada awal tahun ini,” getus Syamsul.

Kata Syamsul, akaun tersebut bagaimanapun sudah dinyahaktifkan.

“Kali ini saya menyedari mesej itu sebab ada berbaur ugutan dan ancaman. Saya ada balas mesej tersebut namun selepas itu, akaun itu dinyaktifkan,” ujarnya.

Syamsul turut ditemani dua peguam dari Tentuan Saiful, Roger & Co iaitu Aizul Rohan Anuar dan Saiful Dzulhelmi Zulkifli.

September lepas, Syamsul berang apabila satu akaun YouTube, Cabik Geronong memuat naik sebuah video pada 27 September 2020 dengan tajuk ‘Tak Sangka! Rupanya Syamsul Yusof curang dengan Puteri Sarah’.

Status rumah tangga Syamsul dengan isteri yang juga seorang pelakon, Puteri Sarah, kini menjadi tanda tanya selepas timbul dakwaan wanita itu hadir ke Pejabat Agama Islam Daerah Gombak 18 September lalu. – K! ONLINE