IPOH: Menyedari kesulitan dan kesempitan segelintir pengamal media dalam menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban kewangan mereka.

Nolee berkata sumbangan yang dihulurkan sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada pengamal media melalui Kelab Sukan & Kebajikan Media Perak (KSKMP).

Menurutnya, beliau difahamkan oleh Presiden KSKMP, Rosli Mansor Ahmad Razali bahawa ada antara petugas media yang terjejas ekoran PKP, malah yang hilang mata pencarian semenjak pengurangan tenaga kerja dibidang media cetak khasnya.

“Saya berharap sumbangan ini dapat membantu melancarkan kehidupan mereka seharian sementara tempoh PKP ini.

“Rakan-rakan media juga merupakan frontliner kita yang banyak membantu menyebarkan berita-berita. Mereka juga berhadapan dengan perbagai risiko dalam mendapatkan berita sewaktu wabak COVID-19 sekarang ini,” katanya.

Sumbangan berupa barangan keperluan harian, sanitizer dan wang saku disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Zuraida Md Taib.

Sementara itu pihak Digital Perak turut menyumbangkan topeng muka yang sampaikan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Meor Rezal Fitri Datuk Dr. Meor Redwan.

Sementara itu, Rosli Mansor berkata, sumbangan yang diterima sangat bermakna, terutamanya rakan media yang tidak mempunyai pendapatan bulanan yang tetap.

“Kami memberi fokus kepada rakan-rakan media yang berkerja secara sambilan yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Begitu juga rakan media yang berpendapan kecil. Dalam keadaan PKP ini mereka harus keluar mencari rezeki bagi menyara keluarga masing-masing,” ujarnya.

Beliau mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Nolee di atas keperihatinan beliau, terutama kepada petugas media yang telah hilang pekerjaan di beberapa syarikat akhbar baru-baru ini.