KAMPUNG GAJAH: Kerajaan negeri mengambil pendekatan melaksanakan program di kampung-kampung dan mengadakan pertemuan bersemuka bagi memupuk kesedaran mengenai norma baharu dalam kalangan warga emas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, ini kerana tidak semua warga emas mempunyai akses kepada sosial media atau pengetahuan tentang norma baharu ketika pandemik Covid-19.

Ujarnya, peranan keluarga khususnya anak-anak juga penting untuk sentiasa mengingatkan ibu bapa masing-masing mengenai risiko dan amalan yang perlu dilakukan ketika keluar rumah.

“Kita faham golongan yang berusia 60 tahun ke atas agak jauh daripada maklumat dari media sosial dan agensi kerajaan. Kita tidak mahu mereka menjadi rantaian penularan penyakit ini dan sebaik-baiknya mereka tidak pergi ke tempat sesak.

“Antara inisiatif yang kita ambil ialah mendekati golongan ini di pusat jagaan orang-orang tua dan mengadakan lawatan ke Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di seluruh Perak.

“Selain itu, kita masuk ke kampung-kampung dan membuat pemeriksaan kesihatan dengan lebih kerap kerana golongan ini lebih berisiko untuk mendapat jangkitan Covid-19,” katanya.

Dr Wan Norashikin berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Sepakat @ Komuniti Pembudayaan Norma Baharu Bersama Warga Emas DUN Kampung Gajah di Dewan Serbaguna Kampung Pulau Gajah di sini pada Jumaat.

Terdahulu, lebih 50 orang peserta warga emas mendengar penerangan dan ceramah mengenai norma baharu dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diberikan oleh Jabatan Penerangan Daerah Perak Tengah.

Mereka turut mendengar ceramah yang disampaikan oleh pegawai polis mengenai SOP yang perlu dipatuhi dalam situasi Covid-19.

Sementara itu, seorang peserta yang ditemui, Zainal Bahri Abu Kasim berkata, inisiatif itu wajar diperluaskan ke seluruh negeri untuk memberi khusus kepada warga emas.

Pesara guru berusia 67 dari Bota itu berkata, ramai warga emas yang sudah mula mematuhi dan memahami norma baharu ketika keluar dari rumah.

“Ada warga emas yang boleh terima (norma baharu). Mereka perlu berhati-hati ketika keluar rumah dan saya lihat ramai yang mematuhi SOP dengan memakai pelitup muka dan sebagainya,” katanya.