IPOH: Jika dahulu seawal jam 4 petang orang ramai sudah beratur panjang untuk mendapatkan bubur lambuk daging kambing di Masjid India Muslim di sini, sepanjang bulan Ramadan.

Namun kini situasinya sama sekali berbeza, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penyediaan bubur lambuk resepi turun temurun lebih 100 tahun ini hanya disediakan dan diedar kepada petugas barisan hadapan sekitar daerah Kinta.

Keputusan itu dibuat setelah mengambil kira faktor keselamatan dan langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan orang ramai berkumpul, sekaligus terhindar dari jangkitan wabak Covid-19.

Menurut Pengerusi Masjid India Muslim Ipoh, Shaik Mujibur Rahman Mohd Yusoff, sebanyak 300 bekas bubur lambuk diedar dan dihantar sendiri kepada petugas barisan hadapan seperti di Sekatan Jalan Raya (SJR), hospital dan klinik kerajaan.

“Sebelum ini orang ramai akan datang setiap bulan Ramadan, mereka bawa bekas sendiri dari rumah dan kita isi dengan bubur lambuk, memang tiada bekas atau plastik disediakan.

“Kalau dulu sehari kita buat dalam lapan periuk, tapi sekarang hanya dua periuk sahaja khas untuk petugas barisan hadapan.

“Ada juga orang datang ke masjid sebab nak ambil bubur lambuk, tapi kita jelaskan pada mereka yang tatacara baharu ini tidak benarkan orang ramai berkumpul, jadi memang tidak disediakan untuk mereka,” katanya.

Ujarnya, antara keistimewaan bubur lambuk yang menjadi sebutan ramai setiap kali bulan Ramadan ini ialah rempah ratus dan cara pembuatannya.

Kata Shaik Mujibur, dia sendiri akan menyediakan bahan rempah ratus setiap hari dan akan dimasak oleh tiga orang tukang masak di masjid tersebut.

“Resepinya istimewa disebabkan kita guna lebih daripada 45 bahan, rempah ratus diadun sendiri. Bahan asas pula guna daging kambing.

“Resepi bubur ini memang dari India sebab cara memasaknya dan penggunaan rempah ratus pun berbeza dari yang asal,” katanya.

Dia turut berharap supaya tradisi wajib pemberian bubur lambuk kepada orang ramai setiap kali Ramadan ini dapat diteruskan di tahun mendatang.

Baginya, di situlah wujudnya kemeriahan dan keberkatan Ramadan yang dikongsi bersama-sama.