IPOH: Selepas kejayaan platform digital SMART IFTAR@PERAK yang menggantikan bazar Ramadan tradisional, kerajaan negeri Perak memperkenalkan pula SMART NIAGA@PERAK sebagai ganti bazar raya.

SMART NIAGA@PERAK menggabungkan Digital Perak dengan syarikat-syarikat pengendali platform e-dagang seperti Lazada, Shopee, Boost dan Aspirasi.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Digital Perak, Meor Rezal Fitri Meor Redwan berkata, lebih 3,000 peniaga berdaftar dengan Smart Iftar di samping 4,000 penghantar makanan.

“Daripada satu Ramadan hingga semalam, kita ada lebih daripada 51,000 pengunjung portal kita dan kita harap smart niaga ni akan ada lebih ramai.

“Pada asalnya kita nak namakan inisiatif ini sebagai Smart Raya tetapi kerajaan negeri mencadangkan supaya ia diteruskan kerana ia adalah salah satu platform yang baik kan.

“Jadi insya Allah, Smart Niaga ini akan diteruskan selagi kita rasa ianya adalah relevan dan membantu rakyat untuk berniaga secara atas talian,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis menandatangan memorandum bersefahaman (MoU) dengan pengendali platform e-dagang di sini hari ini, yang disaksikan Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan Negeri Perak, Azrul Sani Ibrahim.

Peniaga boleh membuat pendaftaran di smart niaga secara percuma melalui portal Digital Perak sehingga hujung tahun ini untuk menikmati insentif yang ditawarkan.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Perak, Zahari Abd Murad berkata, platform itu akan memberi manfaat kepada lebih 5,000 ahli persatuan di seluruh negeri.

“Kami ucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Perak kerana ini satu normal baharu yang perlu kita ikut dan amat sesuai untuk kita menjalankan perniagaan.

“Malah, berbanding cara tradisonal, ia lebih menjimatkan di mana peniaga-peniaga hanya perlu berada di lokasi dan menggunakan on line sahaja,” ujarnya.

Peniaga di Perak diminta mendaftar dengan program ini kerana ia lebih menjimatkan di samping potensi pulangan lumayah kepada mereka.