KUALA KANGSAR: Kehilangan air tidak terhasil (NRW) yang dicatatkan Perak, jauh lebih rendah daripada sasaran yang diletakkan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA).

Setakat ini, Perak telah berjaya mengurangkan kadar (NRW) kepada 28.8 peratus sedangkan sasaran KeTHHA ialah daripada 35 peratus sekarang kepada 31 peratus menjelang 2020.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, dalam masa sama, Perak tidak pernah menaikkan tarif air sejak 2006, seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

“Perak sentiasa memberi perhatian kepada aspek pengurusan air ini dan kita menjadi negeri terbaik yang menguruskan sumber air,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Air Sedunia 2018 peringkat kebangsaan di Laman Budaya, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir Dr Hamim Samuri.

Beliau mengakui, usaha tersebut bukanlah mudah kerana Perak merupakan sebuah negeri yang panjang, besar dan berbukit bukau dengan panjang keseluruhan paip air di negeri ini melebihi 11,000 kilometer.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan rakyat di negeri ini supaya mengambil langkah berjimat cermat dan mengelakkan pembaziran kerana ia merupakan keperluan utama di dalam hidup.

Pada majlis tersebut, Dr Zambry turut menyampaikan anugerah tesis terbaik hidrologi kategori Doktor Falsafah, Sarjana dan Sarjana Muda di samping Anugerah Khas Sumber Air berupa geran RM30,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Peruas, Ulu Dong, Raub, Pahang.