PASIR MAS: Seorang pemuda dipukul dengan besi dan hampir ditembak oleh dua suspek di Kampung Machang Gochoh di sini, semalam akibat salah faham.

Menurut sumber, kejadian jam 7.00 malam itu dipercayai berlaku apabila mangsa berusia 25 tahun menghubungi salah seorang suspek untuk bertanyakan mengenai rakan mereka yang meninggal dunia akibat ditembak di Machang.

Ketika kejadian, difahamkan mangsa sedang menyaksikan permainan sepak takraw sebelum didatangi dua lelaki yang menaiki kereta Perodua Kancil berwarna hitam.

“Suspek berusia 35 tahun yang bekerja sebagai penarik kereta dipercayai mengeluarkan besi dan memukul mangsa di kepala manakala seorang lagi suspek berusia 30 tahun, mengeluarkan objek dipercayai pistol dan mengacukan ke arah kepala mangsa.

“Mangsa yang bekerja sebagai buruh, bagaimanapun berjaya menepis senjata yang dipercayai jenis Revolver menyebabkan sedas tembakan dilepaskan ke arah lain,” kata sumber itu.

Sumber berkata bunyi kuat itu menarik perhatian penduduk ke tempat kejadian, menyebabkan kedua-dua suspek melarikan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohamad Piah, berkata pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk mendapatkan rawatan pesakit luar selepas mengalami cedera ringan di kepala manakala kedua-dua suspek adalah adik-beradik dan mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kita menggiatkan usaha mencari dua suspek berkenaan bagi membantu siasatan kes ini, yang disiasat mengikut Seksyen 324/506 Kanun Keseksaan dan 39 Akta Senjata 1960,” katanya – berita harian