MELAKA, 20 Ogos — Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) perlu memanfaatkan medium mencari kerja menerusi Karnival Penjana Kerjaya anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam memastikan golongan itu tidak tercicir atau dipinggirkan dalam industri pekerjaan.

Mohd Amiruddin Kamaruddin, 36, dari Felcra Ramuan China, Masjid Tanah berkata karnival berkenaan memberi peluang kepadanya untuk kembali bekerja setelah hampir lima tahun tidak bekerja disebabkan beberapa faktor termasuk kecewa dengan gaji yang ditawarkan majikan.

Beliau yang bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda untuk bergerak berkata perkara berkenaan bagaimanapun tidak mematahkan semangatnya untuk mencari majikan yang mampu menerima keadaaan dan memberi gaji yang setimpal dengan kerja yang dilakukan.

“Syukur kerana hari ini saya diterima bekerja di pasar raya Econsave di Batu Berendam di bahagian pentadbiran bermula 26 Ogos ini dan saya akan bekerja dengan sebaik mungkin.

Terima kasih kepada kerajaan dan pihak majikan kerana tidak mengabaikan golongan OKU dan saya berharap rakan OKU yang lain ambil peluang untuk datang temu duga di karnival seumpama ini,” katanya kepada Bernama pada Karnival Penjana Kerjaya ‘Melaka Careertrans 2020’ di sini, malam tadi.

Karnival Penjana Kerjaya yang berlangsung di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) selama dua hari berakhir semalam itu, bertujuan meningkatkan kadar kebolehpekerjaan dalam kalangan masyarakat yang terjejas akibat COVID-19 dan disertai 32 majikan serta 10 penyedia latihan berdaftar di bawah Perkeso.

Sementara itu, Muhammad Syukor Subtu, 21, dari Kuala Sungai Baru, Alor Gajah berkata beliau bersyukur kerana diberi peluang bekerja sebagai operator di sebuah kilang elektronik, Allied Precision Technologies (M) Sdn Bhd di Bukit Rambai bermula hari ini.

“Karnival seperti ini sangat bagus kerana kita dapat mencari pekerjaan yang bersesuaian dalam satu bumbung dan melakukan temu duga terus dengan majikan. Terima kasih kerajaan dan Perkeso kerana menganjurkannya,” kata anak ketiga daripada empat beradik itu.

Seorang bekas pekerja hotel, Nadhira Natasha Aminodin, 21, dari Bukit Rambai yang diberhentikan kerja pada Mac lepas akibat COVID-19 berkata beliau berharap mendapat pekerjaan baharu kerana tidak mahu mengganggur lebih lama.

“Saya tidak memilih pekerjaan dan bersedia bekerja dengan mana-mana syarikat yang memerlukan pekerja kerana pada waktu ini bukan masanya untuk memilih-milih kerjaya kerana tidak mudah untuk mendapat pekerjaan dan terlalu banyak saingan,” katanya.

Dalam pada itu Perkeso dalam satu kenyataan memaklumkan setakat ini, sebanyak 4,686 jawatan kosong telah diisi golongan OKU daripada 7,934 kekosongan yang ditawarkan majikan di seluruh negara.

Lebih 200 karnival pekerjaan dijangka akan dianjurkan melibatkan pelbagai agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia sehingga Disember depan dan sehingga kini, sebanyak 581 program seumpama itu telah dilaksanakan di seluruh negara.

– BERNAMA