SABAK BERNAM: Empat mata, dua hidung dan dua mulut. Itu keunikan seekor anak kucing milik seorang wanita dari Taman Perdana, Sungai Besar di sini,yang lahir pada Rabu lalu.

Anak kucing berusia empat hari itu didapati mempunyai dua muka dengan setiap satunya cukup sifat.

Anak kucing diberi nama Omel itu dilahirkan bersama enam ekor anak kucing lain oleh seekor ibu kucing namun hanya Omel saja yang ada kelainan

Pemiliknya, Liza Ainon Mat Aros, 46, berkata, dia tidak menyangka ibu kucing miliknya itu melahirkan anak kucing unik berkenaan, malah dia baru mengetahuinya kelmarin.

“Saya tidak perasan anak kucing unik ini mempunyai dua muka sehinggalah suami memaklumkan mengenainya, semalam (kelmarin).

“Memang saya terkejut kerana Omel mempunyai dua muka yang cukup sifat,” katanya ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Menurutnya, sejak dilahirkan anak kucing itu sihat sama seperti anak kucing lain.

Katanya, dia membeli puting untuk memberi susu kepada anak kucing istimewa itu bagi memastikan Omel tidak menghadapi masalah.

“Setakat ini Omel hisap susu yang diberikan dalam botol dengan baik.

“Saya harap anak kucing ini membesar dengan sihat sama dengan anak-anak kucing lain,” katanya. -Harian Metro