LUMUT: Kapal Maritim Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak, KM Malawali berjaya mengusir 181 bot nelayan Indonesia yang menceroboh perairan negara dalam tempoh lima hari tugasan Op Benteng di sektor 4, sejak 28 November lalu.

Pengarah Maritim Perak, Kepten Shahrizan Raman berkata, kesemua bot tersebut dikesan menceroboh di persekitaran Pulau Jarak secara berkelompok dengan jumlah yang banyak pada satu-sayu masa dengan setiap bot mempunyah sekurang-kurangnya lima kru termasuk tekong.

Menurutnya, pada 28 November, 51 bot nelayan Indonesia dikesan di beberapa lokasi pada jarak 20.5 dan 26.0 batu nautika Barat Laut, Pulau Jarak sekitar jam 6.20 petang hingga 7.05 petang.

“KM Malawali seterusnya mengesan 87 bot nelayan asing Indonesia pada 29 November di kedudukan 30.4 batu nautika barat laut Pulau Jarak pada lebih kurang jam 12.30 tengahari.

“Baki 43 bot nelayan asing Indonesia dikesan di kedudukan 31.1 batu nautika Barat Laut Pulau Jarak pada jam lebih kurang 1.30 pagi hasil maklumat pengesanan dari pesawat udara maritim Bombardier CL 415 MP,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Shahrizan, kesemua bot tersebut diberikan amaran dan menghentikan aktiviti menangkap ikan serta diarahkan keluar daripada perairan Malaysia dengan segera.

“KM Malawali yang diketuai Pegawai Memerintah Leftenan Komander Fadzliana Mohd Fadzil seterusnya bertindak mengusir kesemua bot tersebut dengan cara membayangi sehingga keluar dari perbatasan perairan negara,” ujarnya.

Katanya, Maritim Perak terus komited dan sentiasa memperkasakan OP Benteng dalam menjalankan tugas mengawal perairan negara dan mempertahankan kedaulatan negara daripada diceroboh.

Beliau menambah, pihaknya akan meningkatkan rondaan dan pengawasan terutamanya, di titik-titik panas berhampiran persempadan maritim negara dengan negara jiran untuk menyekat pendatang asing tanpa izin (PATI) dan bot-bot nelayan asing daripada terus menceroboh dan memasuki negeri Perak.