LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak telah mengusir sebuah bot nelayan asing Indonesia kerana menceroboh perairan negara, di sekitar 20.8 batu nautika barat laut Pulau Jarak, dekat sini, kelmarin.

Pengarah, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, kehadiran bot nelayan tradisional Indonesia itu dikesan oleh pesawat udara Maritim Malaysia AS365 N3 semasa rondaan dan pemantauan udara Op Benteng di perairan Selat Melaka.

Menurutnya, maklumat pengesanan telah disampaikan kepada KM GAGAH yang juga dalam tugasan Op Benteng di Sektor 4 dan terus menghala ke lokasi bagi melakukan pengusiran secara membayangi bot nelayan Indonesia itu keluar daripada perairan Malaysia.

“Maritim Malaysia akan terus meningkatkan pemantauan dan memperkukuh sempadan perairan negara khususnya melalui Op Benteng Laut dalam mengekang kemasukan PATI dan jenayah rentas sempadan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrizan meminta kerjasama orang awam dan komuniti maritim untuk membanteras aktiviti jenayah dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Katanya, maklumat mengenai tekong, ejen serta tali barut mereka boleh disalurkan ke talian NTF 011- 6251 1123 atau talian Pusat Operasi Maritim Negeri Perak 05-6838737.