TAPAH: Jabatan Perhutanan Negeri Perak telah menahan tiga individu kerana menceroboh Hutan Simpan Kekal dalam dua kes berasingan Op COVID- 19 pada Khamis dan Jumaat.

 

Dalam kejadian pertama pada Khamis, Pejabat Hutan Daerah Tapah, menahan dua suspek di dalam Kompartmen 137, Hutan Simpan Bukit Tapah.

Menurut kenyataan Jabatan Perhutanan Negeri Perak, kedua-dua suspek gagal menunjukkan sebarang dokumen atau permit memasuki Hutan Simpan Kekal (HSK) dari jabatan itu.

“Lanjutan dari itu, pasukan penguatkuasa telah merampas dan menyita satu unit kenderaan pacuan empat roda yang telah digunakan oleh kedua-dua suspek dan ditahan reman bagi siasatan lanjut,” katanya.

Menurutya, satu laporan telah dibuat di Balai Polis Tapah dan kedua-dua suspek telah dibebaskan dengan bon jaminan polis.

Dalam kejadian kedua semalam,
pasukan penguatkuasa Pejabat Hutan Daerah Kuala Kangsar telah membuat sekatan jalan raya bersama-sama pihak polis untuk mengesan penceroboh Hutan Simpan Piah.

Katanya, sebanyak 56 buah kenderaan telah disemak dan ditahan dan hasilnya seorang lelaki ditahan kerana suspek gagal menunjukkan dokumen permit memasuki HSK.

Sebuah kenderaan pacuan empat roda dengan muatan barangan runcit turut disita dan suspek dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketiga-tiga suspek boleh didakwa di bawah Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984 kerana memasuki hutan tanpa permit yang jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.