SERI MANJUNG – Empat ditahan termasuk dua pendatang asing dan sembilan motosikal disita dalam Op Lejang yang dijalankan di sekitar Pantai Remis dan Sitiawan sejak kelmarin.

Serbuan pertama kira- kira jam 11 malam dilakukan di kawasan ladang kelapa sawit Kampung Sungai Batu, Pantai Remis di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Chong Bhoo Khim berkata, operasi lebih tiga jam itu telah memeriksa 82 motosikal dan tujuh daripadanya didapati nombor casis dan enjin telah diganggu.

“Dua lelaki warga Bangladesh dan Indonesia masing-masing berusia 23 dan 22 tahun ditahan selepas didapati menunggang Honda EX5 dan Honda C70.

“Pemeriksaan lanjut mendapati dua motosikal yang dilaporkan hilang pada 2016 lalu manakala tiga yang lain didapati nombor enjin dan casis telah diganggu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di sini, hari ini.

Menurutnya, ketika pemeriksaan, dua warga asing terbabit gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

“Mereka direman selama empat hari dan akan dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya.

Pada masa sama, Bhoo Kim berkata, pihaknya berjaya menyelesaikan satu kes selepas menemui semula sebuah Yamaha 135 LC yang baru dilaporkan hilang di Lumut dalam pemeriksaan di Taman Sejati, Sitiawan, semalam.

“Anggota telah menahan seorang lelaki dan wanita berusia 36 dan 23 tahun di tempat kejadian kira- kira jam 10 malam.

“Mereka ditahan bersama sebuah Honda EX5 dan Yamaha terbabit yang diletakkan di hadapan sebuah kedai,” katanya.

Katanya, pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah dadah.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti sama ada motosikal berkenaan akan dileraikan atau untuk dijual semula,” jelasnya.

Bhoo Kim berkata, kedua- dua kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 iaitu gagal memberi keterangan pemilikan motosikal berkenaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencuri – sinar