KUALA LUMPUR: Polis Selangor menahan enam lelaki dalam Operasi Judi Dalam Talian di sebuah premis di Jalan Helang 13, Bandar Puchong Jaya, Puchong, Selangor, malam tadi.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, pada jam 9.55 malam.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Norhizam Bahaman, berkata premis berkenaan didapati beroperasi tanpa sebarang lesen perniagaan.

“Dalam serbuan itu, kita menahan dua lelaki tempatan yang juga penjaga premis dan empat lelaki warga asing yang bermain judi.

“Polis turut merampas satu unit telefon bimbit, 10 unit tablet, satu unit modem dan wang tunai berjumlah RM257,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semua suspek akan dibawa ke balai polis berhampiran untuk siasatan selanjutnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 – berita harian