IPOH, 25 NOV – Operasi mencari kanak-kanak yang dipercayai dihanyutkan arus deras Sungai Chepor dekat Kampung Chepor Dalam, Meru Raya di sini diteruskan hari ini dengan kawasan pencarian diperluaskan kepada dua kilometer, bermula daripada lokasi mangsa jatuh.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, operasi pencarian mangsa, Muhammad Dennis Ramadhan Amar Fizry,10, disambung bermula jam 8.30 pagi dengan kekuatan anggota daripada pasukan bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Operasi pencarian disambung pagi ini dengan membuat pencarian di tebing sungai, agensi lain juga turut memberi bantuan.

“Kawasan pencarian dibahagikan kepada dua zon bagi memudahkan operasi pencarian mengikut pasukan yang telah ditetapkan.

“Kekuatan pasukan penyelamat di tempat operasi ialah anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya (8), polis (19) dan APM (8),”katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Terdahulu, Muhammad Dennis dilaporkan terjatuh ke dalam sungai berkenaan ketika sedang bermain di kawasan tersebut bersama empat lagi rakannya kira-kira 10.20 pagi semalam.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Mohamad Yunus Abu, pihaknya menghadapi sedikit cabaran berikutan arus sungai yang deras, selain keadaan cuaca yang tidak menentu.