BATU GAJAH: Kegagalan memakai pelitup muka di tempat awam antara kesalahan yang paling ketara dikenalpasti menerusi operasi pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Batu Gajah pada Jumaat.

Menurut Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, operasi itu membabitkan pelbagai agensi iaitu RELA, Jabatan Penerangan, Pejabat Kesihatan Daerah Kinta dan anggota polis pelbagai cawangan Ibu Pejabat Daerah (IPD).

Ujarnya lagi, operasi serentak itu dijalankan di beberapa daerah di negeri ini susulan peningkatan statistik jumlah kes positif Covid-19 yang membimbangkan di negeri Perak baru-baru ini.

“Kita lipat gandakan lagi operasi memandangkan angka yang membimbangkan iaitu sebanyak 52 kes yang dicatatkan semalam.

“Antara kesalahan yang ada hari ini seperti tidak mencatatkan keluar masuk pelanggan yang mana perkara perkara ini adalah tidak mematuhi SOP yang telah ditetapkan di bawah PKPP setakat ini.

“Tinjauan mendapati kadar pematuhan bagi masyarakat Batu Gajah amat memuaskan tapi kita masih lagi berusaha untuk mengurangkan lagi ataupun memastikan daerah Batu Gajah sentiasa berada dalam keadaan selamat khususnya bagi negeri Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di operasi tersebut pada Jumaat.

Ahmad Adnan berkata, operasi secara bersepadu itu dilakukan dengan kekuatan 46 pegawai dan anggota bagi menguatkuasa SOP PKPP.

Katanya, operasi itu menumpukan kawasan tumpuan orang ramai, pusat perniagaan, kedai gunting rambut, kedai telekomunikasi dan pasar awam di daerah Batu Gajah.