BATU GAJAH, 20 DIS : Operasi mencari dan penyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikhuatiri lemas apabila terjatuh dari jambatan di Sungai Kinta dari Kampar ke Batu Gajah di sini, petang semalam, disambung semula pagi ini.

Operasi yang disambung pada 8.30 pagi ini dimulakan dengan pencarian di permukaan air, di sebelah kiri dan kanan sungai, menggunakan tiga buah bot.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri Perak, Unit K9 (unit anjing pengesan) telah diaturgerak bagi membantu operasi mencari dan menyelamat.

“Skop pencarian diperluaskan dalam jarak tujuh kilometer dari terakhir mangsa dilihat,” katanya dalan kenyataan hari ini.

Menurutnya, kira-kira 50 orang terlibat dalam operasi itu yang terdiri dari anggota bomba dan penyelamat, polis, Rela dan Angkatan Pertahanan Awam.

JBPM Perak menerima maklumat pada jam 2.49 petang semalam, yang memaklumkan seorang lelaki berusia 20an terjatuh ke Sungai Kinta dan dihanyutkan arus deras.

Operasi yang diketuai PPgB Mohd. Norshah Shahri bagaimanapun dihentikan pada pukul 7 petang semalam.