KUALA LUMPUR: Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara akan dibuka semula berkuat kuasa 15 Jun depan.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan waktu operasi UTC akan turut diseragamkan sejajar dengan teras ketiga Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) iaitu merangsang ekonomi melalui pelanjutan waktu perkhidmatan dalam norma baharu.

“Perdana Menteri ketika mengumumkan PENJANA pada 5 Jun antara lain telah mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju membuka semula dan menyeragamkan waktu operasi Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara.

“Sehubungan itu, UTC akan beroperasi semula mulai Isnin, 15 Jun,” katanya.

Menurut kenyataan itu, waktu operasi UTC di seluruh negara termasuk Sabtu dan Ahad dibuka mulai jam 8 pagi hingga 5 petang.

“UTC beroperasi selama tujuh hari kecuali pada cuti umum persekutuan atau negeri. Selain itu, tiada waktu rehat bagi UTC kecuali pada hari Jumaat,” katanya.