KUALA KANGSAR : Pasukan Penguatkuasa Pejabat Hutan Daerah Kuala Kangsar berjaya menahan seorang suspek lelaki yang membawa muatan balak sebanyak 16 tual pelbagai spesies secara haram di sini, pada Ahad.

Menurut kenyataan dari Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) pada Isnin, suspek menggunakan sebuah lori berwarna merah jenis Hicom dan semua muatan balak itu telah disita untuk tindakan selanjutnya.

“Pada 9 Februari, (Ahad), Pejabat Hutan Daerah Kuala Kangsar, JPNPk menerima maklumat berkaitan aktiviti pengambilan hasil hutan tanpa kebenaran melalui operasi khas yang dipanggil ‘Ops Thaipusam’.

“Pasukan Penguatkuasa dari Pejabat Hutan Daerah Kuala Kangsar dengan kekuatan anggota seramai 11 orang dan dibantu oleh tiga orang anggota Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Kuala Kangsar.

“Pasukan ini telah menjalankan kerja-kerja risikan dan intipan di kawasan yang disyaki berlaku aktiviti pengambilan hasil hutan tersebut,”katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu katanya, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Kuala Kangsar berhubung tangkapan ini.

Suspek ini kemudiannya dilepaskan dengan bon jaminan Polis dan siasatan lanjut akan dijalankan oleh Unit Siasatan Seksyen Operasi dan Penguatkuasaan Hutan, JPNPk.

“Kesalahan yang boleh didakwa ke atas suspek ialah di bawah Seksyen 68 (1) dan Seksyen 84 Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985.

“Jika disabitkan kesalahan suspek boleh dikenakan denda tidak melebihi RM Lima Puluh Ribu dan penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya,”katanya.

Bagaimanapun ujarnya, ianya akan diputuskan setelah siasatan lengkap dijalankan oleh pihak penyiasat JPNPk.

Justeru itu,ujanrya JPNPk mengalu-alukan sebarang maklumat awam berhubung kegiatan mengambil hasil hutan tanpa kebenaran dan juga aktiviti penerokaan Hutan Simpan Kekal (HSK) secara haram di Negeri Perak.

Pihak Jabatan juga ingin menasihatkan kepada mana-mana individu atau masyarakat awam mengenai sebarang aktiviti pengambilan hasil hutan secara haram dari HSK merupakan suatu kesalahan yang boleh didakwa di bawah APN 1984.