KUALA LUMPUR : Dr Mahathir Mohamad hari ini menceritakan apa yang berlaku dalam Bersatu semasa parti itu menjadi kerajaan dan perkembangan yang membawa kepada jatuhnya PH di Putrajaya.

Bercakap kepada media di Yayasan Albukhary di Kuala Lumpur, Mahathir berkata Muhyiddin Yassin memujuknya agar menjarakkan diri daripada DAP – satu daripada parti dalam PH – dan menyalahkan parti itu sebagai punca mereka kalah dalam tiga pilihan raya kecil.

“Katanya (Muhyiddin) ini kerana DAP. Orang Melayu percaya bahawa DAP yang kawal kerajaan, dan saya kononnya mengikut telunjuk (Lim) Guan Eng.

“Ini semua tidak benar, tapi inilah kecekapan Najib (Razak) sehingga mereka tidak lagi nampak Najib sebagai bersalah.

“Mereka bersedia untuk mencium tangan Najib, mereka mengakui dia sebagai bossku… Ini keadaan sebelum masalah sekarang timbul,” katanya.

Ahli parlimen Langkawi itu menambah Muhyiddin juga memujuknya meninggalkan PH tetapi beliau enggan kerana mendapat sokongan penuh daripada gabungan tersebut.

Kata Mahathir, beliau juga – sebelum ini – mendapat sokongan daripada PAS dan Bersatu, justeru ia tidak dapat dilakukan.

“Kenapa saya nak tolak PH yang memberikan sokongan penuh? (Kenapa) saya tolak PH dan terima Najib?” katanya lagi.

Mengenai kerjasama dengan Umno, Mahathir mengulangi pendiriannya untuk menerima ahli politik dari parti itu secara individu, bukannya secara en bloc.

Dengan cara yang diingini Muhyiddin itu, katanya, Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menyertai kerajaan secara en bloc melalui Umno.

“Ini saya tak dapat terima. Memang ahli Umno ada yang tak bersalah, tapi yang bersalah ada juga, ada yang sedang dibicarakan di mahkamah.

“Saya minta supaya diberi masa… kalau bukan sekarang, kalau kita tak percaya DAP, kita kena cari jalan kuatkan Bersatu.

“Tapi dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, di sebalik rayuan saya agar tidak dibuat keputusan sekarang, akhirnya Bersatu buat keputusan keluar PH,” katanya.