MARANG: Pas menegaskan parti Islam itu tidak akan sesekali menaiki ‘bas ekspres yang tidak berhenti di stesennya’.

Sebaliknya parti itu tetap teguh dengan pendiriannya untuk terus menyokong gabungan Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata kesemua ahli parlimen parti itu terus teguh menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Ketika ditanya jika ditawarkan menyertai Kem Anwar, ahli Parlimen Marang berkenaan enggan melayan andaian seperti itu dan pihaknya teguh dengan gabungan ketika ini.

“Kita terus, 18 ahli Parlimen Pas terus mendokong Tan Sri Muhyiddin menjadi perdana Menteri. Terus bersama dengan Perikatan Nasional, Muafakat Nasional dan orang Pas tidak naik ‘bas ekspres yang tidak berhenti di stesen’,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa beliau mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu dalam masa terdekat.

Anwar turut berkata, beliau sudah diperkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, namun ditangguhkan kerana Baginda menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).