GEORGE TOWN, 28 DIS : Cuti sempena perayaan Hari Natal dan cuti hujung minggu dimanfaatkan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan feri buat kali terakhir sebelum perkhidmatan itu ditamatkan buat kenderaan empat roda hujung Disember ini.

Bukan sahaja penduduk tempatan, malah pengunjung dari luar juga turut berkunjung ke negeri itu hanya semata-mata ingin merakam kenangan menaiki pengangkutan yang menjadi ikonik Pulau Mutiara itu.

Rata-rata mereka yang ditemui menzahirkan rasa sedih apabila perkhidmatan yang telah beroperasi lebih 126 tahun itu bakal berakhir.

“Disebabkan sekarang cuti perayaan Krismas, saya ambil peluang ini untuk menikmati saat-saat terakhir naik feri kerana sebelum ini pun saya belajar di Universiti Sains Malaysia (USM).

“Sejak bekerja di Johor Bahru, peluang untuk naik feri agak terbatas sebelum ini. Jadi saya ambil cuti semata-mata untuk naik feri sahaja,” kata Mohd Fahri Ahmad yang datang dari Johor Bahru.

Sementara itu, Mohd Hashim Zaim dari Batu Pahat akui wujud rasa bercampur baur dalam dirinya saat menggunakan perkhidmatan itu.

“Ini merupakan kali pertama saya nak feri dengan kereta sebab sebelum ini saya naik feri biasa sahaja dan tak sangka pula ini kali terakhir yang saya menggunakan feri Pulau Pinang.

“Katanya selepas ni akan ditutup jadi saya rasa bertuah dapat guna perkhidmatan feri Pulau Pinang ini. Satu bertuah, satu lagi rasa sedih sebab tengok perkhidmatan feri ini sudah lama sangat beroperasi,” katanya.

Membesar di Pulau Mutiara, Jenny yang kini menetap di Kuala Lumpur akui pelbagai memori yang disimpan olehnya.

“Memang saya rasa rindu sangat. Dalam buku anak saya itu pun tulis F untuk feri. Jadi kita nak bawa anak, mak dan bapa datang menggunakannya sekali lagi.

“Walaupun kami sudah lama berpindah tetapi bagi kami ia bukan sekadar pengangkutan tetapi juga memori, kenangan dan warisan untuk negeri ini,” ujarnya.

Sementara itu tinjauan Astro Awani di pengkalan Terminal Raja Uda di Butterworth pada Ahad mendapati kenderaan berpusu-pusu memasuki ruang terminal untuk menaiki feri.

Peluang cuti kali ini digunakan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan itu menyebabkan kenderaan terpaksa beratur panjang bagi menunggu giliran.

Pada Sabtu, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dalam satu kenyataan memaklumkan, bermula 1 Januari ini, perkhidmatan feri lama hanya boleh digunakan oleh penunggang motosikal dan basikal.

Manakala perkhidmatan feri untuk membawa kereta ditamatkan sepenuhnya.Perkhidmatan bot laju pula akan digunakan bagi membawa penumpang pejalan kaki. – AWANI