PUTRAJAYA 17 Julai – Kaunter Bahagian Wang Tak Dituntut (WTD), Jabatan Akauntan Negara yang dibuka di lobi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar di sini hari ini diserbu oleh orang ramai untuk menyemak wang status WTD masing-masing.
Kaunter yang dibuka dari pukul 11 pagi sehingga 2 petang untuk hari ini sahaja itu merupakan satu usahasama antara Jabatan Akauntan Negara dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati walaupun kaunter tersebut dibuka khusus untuk warga kementerian, tetapi orang ramai sekitar Lembah Klang menggunakan kesempatan itu untuk memeriksa WTD yang tidak dituntut sejak bertahun-tahun.
Seorang pegawai teknologi maklumat, Farah Sulaiman, 31, berkata, langkah tersebut merupakan usaha terbaik kerana masih ramai orang tidak mengetahui kewujudan WTD.
“Kadangkala kita lupa bahawa kita mempunyai simpanan atau dividen yang disimpan, sedangkan ia tidak pernah dituntut,” katanya.
Bagi Norbaayah Shukur, 35, dia mempunyai WTD berjumlah RM20 iaitu hasil dividen saham yang tidak dituntut sejak 20 tahun lalu.
“Walaupun jumlah ini kecil, tetapi akhirnya saya ketahui wang itu tidak hilang, sebaliknya disimpan kerajaan,” ujarnya.
Selain itu, seorang lagi penjawat awam, Rohani Ali, 31, meminta Jabatan Akauntan Negara untuk memperbanyakkan kaunter itu di seluruh negara termasuk mewujudkan satu laman sesawang atau aplikasi telefon untuk memeriksa WTD.
-BeritaHarian