IPOH: Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) negeri Perak, Datuk Abdul Manaf Hashim menggesa firma audit PricewaterhouseCoopers (PwC) segera menyerahkan laporan audit forensik berhubung isu Taman Tema Animasi Studio (MAPS).


Katanya, firma itu merupakan juruaudit yang dilantik sebelum ini untuk memberi laporan forensik audit dalaman mengenai MAPS kepada PAC.


Bagaimanapun menurut Abdul Manaf, sehingga kini tiada sebarang jawapan mengenai dapatan hasil daripada laporan tersebut, meskipun bayaran penuh sebanyak RM 400,000 sudah dilunaskan.


“Pengerusi (PAC) yang lalu mengatakan laporan sudah siap dan akan dibentangkan tetapi sampai sekarang pun saya sudah meminta urusetia untuk berhubung dengan PricewaterhouseCoopers (PwC).


“Kita sudah bayar kepada mereka, difahamkan yang pihak Perak Corporation Berhad (PCB) membayar RM 200,00 dan kerajaan negeri pula bayar RM 200,000, bermakna jumlah yang kita bayar kepada PwC ialah RM 400,000.


“Harap pihak PwC dapat percepatkan laporan ini sebab saya difahamkan dulu kalau kita baca laporan akhbar dan sebagainya katanya sudah siap,” katanya.


Abdul Manaf berkata kepada pemberita dalam sidang media selepas Mesyuarat PAC Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis.


Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi PAC Perak, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin.


Sehubungan itu katanya, surat untuk menyegerakan laporan itu telah diserahkan kepada pihak berkenaan supaya ia dapat dibentangkan di mesyuarat akan datang.


“Ia sudah berlarutan lebih setahun, kami tertunggu-tunggu juga apa dapatan laporan forensik itu, RM 400,000 yang dibayar adalah jumlah yang besar , saya rasa kita berhak untuk mendapatkannya (laporan) kerana itu pun duit rakyat juga,” katanya lagi.


Sebelum ini media melaporkan laporan audit MAPS akan diketahui seawal April tahun ini.


Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, laporan audit forensik yang dikendalikan PAC Perak telah disiapkan dan masih dalam penelitian.


Ahmad Faizal berkata pihaknya pasti membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya laporan audit mendedahkan terdapat sebarang bentuk salah laku.


Pengerusi PAC terdahulu, Leong Cheok Keng sebelum ini berkata, sebarang tindakan susulan memanggil mana-mana individu hanya dibuat selepas laporan audit forensik oleh PwC siap dan diserahkan kepada PAC.